Prolog
Aku cuma mahukan cinta. Hidupku yang diduga sebegini hala tujunya cuma untuk memenangi cintaku. Aku kini tahu cuma kerana itu aku di sini. Di satu dunia yang bukan milikku. Juga semua berlaku bukan pilihanku. Di dalam cermin, aku ifrit. Di dalam hatiku, aku manusia. Maka di situ ada cintaku, cinta manusiawi untuk manusia.
Kenapa Tuhan melukis takdir sebegitu buruk untukku?
Aku hidup cuma untuk hatiku disakiti sebegini hebat, itu takdirku. Apa benar takdir itu belenggunya mustahil untuk dileraikan? Maka keupayaanku ini untuk apa?
Sayang… aku akan memenangi cintamu. Cuma itu tujuan hidupku. Cuma itu!